Saturday, July 6, 2019

Strategi Mengenal Pasti Isi Tersirat



1.      Isi tersirat ialah focus kedua (F2) dalam soalan.
2.      Ingat semula focus soalan yang anda peroleh ketika menganalisis arahan soalan tadi agar anda dapat mengesan isi tersirat “apa” yang perlu anda cari.
3.      Anda tidak perlu mencari isi tersirat dalam petikan kerana isi tersirat tidak dinyatakan dalam petikan.
4.      Cara mendapat isi tersirat hamper sama dengan cara menyenaraikan isi-isi penting karangan.

5.      Untuk memperoleh isi tersirat dengan tepat, anda perlu memahami dan mematuhi perkara yang berikut:
(a)   Pastikan bahawa isi tersirat berfokus pada focus kedua (F2) dalam soalan saja.
(b)   Focus kedua (F2) sering bertukar ganti dengan focus pertama. Misalnya punca/sebab/faktor, kesan/akibat/implikasi, kepentingan/faedah/kebaikan, kekangan/masalah, fungsi/peranan/tanggungjawab, keburukan, keistimewaan, cara/langkah/kaedah/usaha, dan sebagainya. Namun ada juga F2 yang tidak berkaitan dengan F1.
Contohnya:
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang punca keluarga kesempitan wang (F1) dan cara-cara merancang perbelanjaan. (F2)
(c)   Sekiranya F1 berhubung dengan masalah, berkemungkinan F2 berkaitan dengan kesan. Oleh sebab itu, jawapan untuk F1 adalah yang berkaitan dengan masalah (tersurat dalam petikan), manakala jawapan untuk F2 ialah langkah mengatasi masalah tersebut (tidak tercatat dalam petikan).
Contohnya:
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang faktor penebangan hutan secara berleluasa (F1) dan kesan-kesannya. (F2)

Penjelasan:
i.                    Isi yang berhubung dengan faktor penebangan hutan secara berleluasa (F1) terdapat dalam petikan.
ii.                  Isi yang berkaitan dengan kesan-kesannya (F2) tidak tercatat dalam petikan. Oleh itu, anda hendaklah mengemukakan isi tentang kesan penebangan hutan secara berleluasa.
Misalnya:
-          Hakisan tanah akan berlaku;
-          Kawasan tadahan hujan akan berkurang;
-          Habitat fauna akan musnah;
-          Pertumbuhan flora akan terbantut;
-          Negara akan menghadapi masalah kekurangan sumber pendapatan tradisional;
-          Peningkatan suhu akan berlaku.
(d)   Tulis isi tersirat dengan ayat yang lengkap.
(e)   Bilang jumlah patah kata dan catat pada akhir ayat.



Idea Pemeriksa SPM
1.      Anda perlu berfikir secara kreatif untuk memperoleh isi tersirat yang tepat dan tidak berulang.
2.      Isi tersirat mestilah ditafsirkan dan dianalisis secara kritis dan analitis berdasarkan F2 agar perkara yang tidak dinyatakan dalam petikan dapat diserlahkan sebagai isi tersirat.



SAMPEL SPM 4
Arahan Soalan
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang langkah-langkah menjadi usahawan yang Berjaya dan kebaikan kerjaya sebagai usahawan. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

            Kerajaan menggalakkan rakyat negara ini memanfaatkan peluang yang ada di depan mata untuk menjadi usahawan. Mereka harus sedar bahawa maju mundurnya seseorang individu dalam bidang keusahawanan bergantung pada beberapa faktor. Kejayaan dalam bidang tersebut pula tidak boleh dicapai dalam jangka pendek. Tindakan memilih jelas pintas bagi mencapai tujuan tersebut akan lebih banyak mengundang kesulitan berbanding dengan kejayaan.

            Dalam bidang keusahawanan, usahawan hendaklah mampu memanfaatkan potensi orang di sekeliling mereka. Hal ini demikian kerana melalui bantuan orang lain, sesuatu tujuan akan lebih mudah dicapai. Usahawan seharusnya mesra pelanggan dan senang bergaul dengan orang ramai. Dunia keusahawanan amat menitikberatkan soal imej juga, khususnya imej usahawan itu sendiri dan mutu produk. Sehubungan dengan itu, penampilan imej yang jujur dan berdisiplin sewajarnya dititikberatkan untuk mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan. Aspek-aspek tersebut perlu diberi penekanan kerana perkara ini merupakan nilai yang perlu dibayar pada perhubungan perniagaan yang selanjutnya. Keyakinan diri sendiri pula amat penting untuk menangani masalah-masalah yang timbul khususnya permasalahan yang berkaitan dengan perniagaan.

            Dalam masa yang sama, sekalipun usahawan akan berdepan dengan berbagai-bagai pilihan, kecekapan membuat keputusan amat penting untuk memastikan keputusan yang diambil itu tepat. Keuntungan akan diperoleh jka usahawan mampu membuat keputusan yang tepat dan bijak bagi mengurangkan risiko perniagaan. Perkara ini juga berkait rapat dengan minat mereka untuk menambah ilmu pengetahuan. Sesuatu peluang perniagaan tidak mungkin dapat direbut sekiranya pengusaha kurang maklumat mengenainya. Oleh sebab itu, usahawan wajar memiliki sikap cinta akan ilmu pengetahun. Kesanggupan mendlaami ilmu pengetahuan akan membolehkan usahawan lebih bersedia menghadapi apa-apa jua keperluan dan perubahan persekitaran untuk meningkatkan lagi daya saing. Ilmu pengetahuan mampu mencorakkan cara berfikir seseorang dalam pelbagai perkara, terutamanya dalam bidang keusahawanan. Usahawan dituntut agar memiliki pemikiran yang positif supaya mereka lebih gigih berjuang untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

            Hasil kajian yang dilakukan mendapati keupayaan berkomunkasi merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan usahawan. Dengan demikian, sebarang kelemahan berkomunikasi harus diatasi dengan sebaik mungkin. Dari aspek yang lain pula, usahawan perlu menyedari dalam dunia keusahawanan, ranjau yang menantinya begitu banyak di hadapan. Mereka yang memiliki daya tahan yang kuat dan bekalan tenaga yang banyak saka yang akan menggenggam kejayaan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
“Tiada Jalan Pintas dalam Perniagaan,”
Dewan Ekonomi, April 2005.



Mengenal Pasti Isi Tersurat dan Isi Tersirat [Berdasarkan Fokus Soalan dalam Petikan]

Isi Tersurat (Langkah-langkah)
1.      Para usahawan hendaklah memanfaatkan potensi orang di sekeliling mereka.
2.      Usahawan seharusnya mudah bergaul dengan pelanggan dan orang ramai.
3.      Mereka perlu menampilkan imej yang jujur dan berdisiplin.
4.      Usahawan hendaklah memiliki keyakinan diri yang tinggi untuk menangani masalah.
5.      Kecekapan membuat keputusan amat penting dalam dunia keusahawanan.
6.      Usahawan wajar memiliki sifat cinta akan ilmu pengetahuan.
7.      Mereka peru bersedia menghadapi sebarang keperluan dan perubahan persekitaran unutk meningkatkan daya saing.
8.      Usahawan seharusnya memiliki pemikiran yang positif untuk berjuang.
9.      Usahawan perlu bijak berkomunikasi dengan sesiapa saja.
10.  Mereka dikehendaki memiliki daya tahan yang kuat dan bekalan tenaga yang banyak.


Isi Tersirat
1.      Usahawan dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada orang lain.
2.      Usahawan yang Berjaya akan memperoleh pendapatan yang lumayan.
3.      Imej seorang usahawan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat.
4.      Bahan-bahan mentah di negara ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
5.      Kerjaya tersebut dapat diperkembangkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
6.      Usahawan mempunyai masa yang lebih fleksibel dan dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya.




Idea Pemeriksa SPM
1.      Anda perlu berfikir secara kreatif untuk memperoleh isi tersirat yang tepat dan tidak berulang.
2.      Isi tersirat mestilah ditafsirkan dan dianalisis secara kritis dan analitis berdasarkan F2 agar perkara yang tidak dinyatakan dalam petikan dapat diserlahkan sebagai isi tersirat.

No comments:

Post a Comment

Strategi Menulis Penutup Rumusan dan Menyemak Rumusan

1.       Anda perlu ingat semula isi keseluruhan petikan dan focus soalan sebagai panduan untuk menulis penutup. 2.       Baca dan tel...